LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek berpeluang menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya mendapat pencalonan daripada ahli gabungan badan induk itu.

Menurut sumber, Jalani perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu pencalonan untuk menjadi calon bagi menjawat jawatan Presiden BAM yang baharu.

Malah, beliau memberitahu, pencalonan juga boleh dibuat oleh presiden ketika ini, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk mendapat persetujuan daripada ahli majlis BAM.

“Selain ahli majlis dan naib presiden, orang luar juga boleh menjadi calon (presiden) tetapi dengan syarat mendapat minimum satu pencalonan.

“Dua Timbalan Presiden BAM, Setiausaha BAM serta presiden setiap persatuan negeri akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pengganti Norza yang akan melepaskan jawatannya hujung tahun ini.

“Mesyuarat itu juga akan disertai oleh ahli majlis BAM yang terdiri daripada 15 setiausaha persatuan badminton negeri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebagai rekod, struktur organisasi BAM ketika ini terdiri daripada seorang presiden, dua timbalan presiden dan semua naib presiden yang terdiri daripada presiden persatuan badminton negeri termasuk Putrajaya.

Sumber itu memberitahu, sudah menjadi amalan BAM sejak sekian lama pemilihan presiden berlangsung dalam suasana harmoni tanpa pertandingan.

“Bagaimanapun, pemilihan presiden itu haruslah menerusi persetujuan bersama semua ahli majlis dan presiden persatuan badminton negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, persetujuan tersebut dicapai menerusi proses rundingan dan perbincangan sebelum dimuktamadkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) atau mesyuarat agung luar biasa (EGM).

“Sekiranya ada satu atau dua ahli majlis tidak bersetuju dengan calon itu, maka mereka akan berbincang secara baik dan harmoni untuk mencapai kata sepakat,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, Sukan Sinar melaporkan Jalani tidak menolak kemungkinan bersedia menerajui BAM susulan peletakan jawatan Norza sebagai presiden akhir tahun ini.

Pada masa sama, sumber itu turut menjelaskan, 'orang luar' juga boleh dipilih untuk memegang satu daripada dua jawatan Timbalan Presiden BAM.

“Misalnya, Datuk Wira Lim Teong Kiat yang tidak memegang jawatan dalam mana-mana persatuan badminton negeri dipilih sebagai Timbalan Presiden BAM pada 2017,” jelasnya.